8 langkah

Penyata Akaun dan penyesuaian bank (untuk audit, AGM dan eROSES)

Jana Penyata Penerimaan dan Pembayaran bagi mana-mana tempoh terus daripada lejar dana, import penyata bank dan sediakan penyesuaian bank untuk juruaudit.

Buka fungsi ini
Video tutorial · contoh persatuanLangkahnya sama untuk sekolah dan persatuan; hanya nama dan data contoh berbeza.
  1. 1

    Buka "Penyata Akaun"

    Di halaman Kewangan atau Dana & baki, tekan "Penyata Akaun". Semua AJK yang boleh melihat ringkasan kewangan boleh membuka penyata ini.

  2. 2

    Pilih tempoh dan dana

    Di kad "Pilih tempoh", pilih "Tahun kewangan", "Suku tahun", "Bulan" atau "Julat tarikh", kemudian pilih "Dana" (Semua dana, Dana Am atau satu tabung khusus). Jika tahun kewangan tidak bermula pada Januari, pilih bulan di "Tahun kewangan bermula" (diisi sendiri daripada perlembagaan jika sudah diimport). Tandakan "Bandingkan dengan tempoh sebelumnya" untuk lajur perbandingan. Tekan "Papar".

  3. 3

    Baca penyata

    Penyata bermula dengan baki awal di bank, kemudian penerimaan dan pembayaran mengikut kategori, lebihan atau (kurangan), dan baki akhir. Jadual "Baki mengikut dana" menunjukkan baki awal dan akhir setiap dana. Pindahan antara dana ditunjukkan berasingan dan tidak dikira sebagai penerimaan atau pembayaran.

    Baki akhir satu tempoh sentiasa sama dengan baki awal tempoh berikutnya.

  4. 4

    Semak amaran

    Jika ada bayaran, derma atau tajaan yang belum disahkan oleh orang kedua, kotak kuning dipaparkan. Rekod itu tidak termasuk dalam penyata; sahkan atau tolak dahulu sebelum penyata dimuktamadkan. Komitmen belum dibayar disenaraikan dalam Nota.

  5. 5

    Cetak, AGM dan CSV

    Tekan "Cetak / PDF" untuk penyata A4 dengan kepala surat, ruang tandatangan Disediakan oleh (Bendahari), Disemak oleh (Juruaudit / Pemeriksa Kira-kira) dan Disahkan oleh (Pengerusi / YDP). Tekan "Untuk AGM" untuk versi pembentangan Mesyuarat Agung dengan ruang "Dicadangkan oleh" dan "Disokong oleh". Tekan "CSV / Excel" untuk fail yang boleh dibuka dalam Excel oleh juruaudit.

  6. 6

    Import penyata bank

    Bendahari tekan "Import penyata bank" dan muat naik penyata bulanan (PDF atau gambar). Baris yang sudah direkod ditanda; tandakan baris lain, pilih dana, jenis dan kategori, kemudian simpan. Penyata disimpan untuk penyesuaian bank walaupun tiada baris ditanda.

  7. 7

    Penyesuaian bank

    Tab "Penyesuaian bank": pilih penyata bank dan tarikh akhir tempoh. Baki akhir bank diisi daripada penyata (boleh diubah). Rembuk menyenaraikan rekod lejar yang belum muncul di bank dan baris bank yang belum direkod dalam lejar. Jika semuanya dijelaskan, perbezaan ialah RM0.00; jika tidak, "Perbezaan belum dijelaskan" dipaparkan. Tekan "Simpan penyesuaian" untuk menyimpan rekod (nama anda dan masa) dan "Cetak" untuk salinan juruaudit.

  8. 8

    Kunci kira-kira ringkas

    Di halaman Kewangan, tekan "Kunci kira-kira" dan pilih tarikh. Rembuk menunjukkan aset (baki tunai dan bank setiap dana, serta aset tetap daripada daftar aset pada nilai kos), liabiliti (komitmen belum dibayar dan wang tumpang) dan dana terkumpul mengikut jenis dana. Cek yang belum dijelaskan disenaraikan untuk makluman sahaja. Tekan "Cetak / simpan PDF" untuk salinan.

    Panduan penuh, termasuk semakan "Seimbang" dan tandatangan: Kunci kira-kira ringkas.

Perkara penting

  • Penyata bank yang diimport (contohnya diimport dua kali) boleh dipadam dengan "Padam penyata bank ini" di tab Penyesuaian bank. Entri lejar yang sudah direkod daripadanya kekal; betulkan di Dana jika perlu.
  • Penyata disediakan atas asas tunai, format biasa bagi persatuan dan PIBG di Malaysia.
  • Bagi persatuan, angka tahun kewangan Januari hingga Disember sama dengan bahagian Kewangan dalam Penyata Tahunan ROS dan penyata kewangan dalam minit mesyuarat bagi tempoh yang sama.
  • Pilih kategori semasa merekod perbelanjaan atau terimaan lain di Dana supaya penyata lebih terperinci. Rekod lama tanpa kategori dimasukkan dalam "Lain-lain".
  • Hanya AJK yang boleh merekod kewangan boleh menyimpan penyesuaian bank. AJK yang boleh melihat butiran kewangan boleh membukanya.

Berkaitan

Masih keliru? Hantar tiket bantuan