Polisi Pemulangan Wang

Rembuk · Versi 5 · berkuat kuasa 22 Oktober 2026

1. Langganan

  • Bayaran langganan Rembuk yang pertama boleh dipulangkan sepenuhnya jika diminta dalam masa 14 hari dari tarikh bayaran.
  • Selepas 14 hari, tiada pemulangan berkadar, tetapi tiada caj automatik dan langganan tidak diperbaharui tanpa bayaran anda.

2. Bayaran berganda atau tersilap

Jika anda dicaj dua kali atau tersilap jumlah, kami akan memulangkan lebihan sepenuhnya.

3. Pek kredit AI tambahan

  • Pek kredit AI tambahan yang belum digunakan langsung boleh dipulangkan sepenuhnya jika diminta dalam masa 14 hari dari tarikh pembelian.
  • Selepas mana-mana kredit daripada pek itu digunakan, atau selepas 14 hari dari tarikh pembelian, pek tersebut tidak boleh dipulangkan.
  • Kredit pek sah selama 12 bulan dari tarikh pembelian. Kredit yang luput tidak dipulangkan.

4. Yuran, sumbangan dan bayaran kepada organisasi

  • Bayaran terus kepada organisasi: jika yuran, sumbangan atau bayaran lain dibuat melalui pindahan bank ke akaun organisasi atau melalui gerbang pembayaran milik organisasi sendiri, wang itu diterima terus oleh PIBG atau persatuan, bukan oleh Rembuk. Permohonan pemulangan perlu dibuat kepada Bendahari organisasi berkenaan.
  • Bayaran melalui Rembuk Pay: wang dikutip oleh Renoraz Ventures Sdn. Bhd. melalui gerbang pembayaran berlesen (CHIP) bagi pihak organisasi, kemudian disalurkan ke akaun bank organisasi. Keputusan untuk memulangkan wang dibuat oleh organisasi. Pembayar perlu memohon kepada Bendahari organisasi; atas permintaan pegawai kewangan organisasi, kami memproses pemulangan ke kaedah bayaran asal.
  • Bagi pemulangan melalui Rembuk Pay, jumlah yang dipulangkan ditolak daripada penyaluran seterusnya kepada organisasi. Caj platform bagi bahagian yang dipulangkan dikembalikan kepada organisasi, manakala caj gerbang pembayaran tidak boleh dikembalikan. Butiran penuh dalam Terma Rembuk Pay.
  • Tajaan dibayar terus kepada organisasi. Permohonan pemulangan tajaan dibuat kepada Bendahari organisasi berkenaan.

5. Cara memohon

Bagi langganan dan pek kredit AI, emel hello@rembuk.my dengan nama organisasi, tarikh bayaran dan nombor rujukan. Pemulangan diproses dalam 7 hingga 14 hari bekerja ke kaedah bayaran asal. Bagi yuran, sumbangan dan tajaan, hubungi Bendahari organisasi berkenaan.