Terma Infak Niaga

Versi 2, berkuat kuasa 23 Oktober 2026.

Terma ini terpakai kepada peniaga yang mendaftar Infak Niaga dan institusi yang menerima kerjasama Infak Niaga di Rembuk. Ia dibaca bersama Terma Penggunaan, Dasar Privasi dan, bagi bayaran dalam talian melalui Rembuk Pay, Terma Rembuk Pay. Rembuk dikendalikan oleh Renoraz Ventures Sdn Bhd.

1. Apa itu Infak Niaga

1.1 Infak Niaga menghubungkan peniaga dengan institusi penerima yang disahkan dalam Direktori Derma. Peniaga berikrar memberi sebahagian hasil jualan, meletakkan tabung di kaunter, atau memaparkan kod QR derma terus.

1.2 Infak Niaga adalah untuk infak dan sedekah sahaja. Zakat, termasuk zakat fitrah, tidak boleh dikutip melalui Infak Niaga dan perlu dibayar kepada pusat zakat atau Majlis Agama Islam negeri.

2. Halal

2.1 Semua makanan dan minuman yang dijual atau diberikan melalui Infak Niaga mesti halal. Peniaga mengaku:

  • Tiada babi atau bahan terbitan babi.
  • Tiada lemak babi.
  • Tiada alkohol atau arak, termasuk dalam masakan.

2.2 Sijil halal tidak diwajibkan. Akuan ini dipaparkan kepada orang ramai. Akuan palsu, atau laporan "Isu halal" yang disahkan, boleh menyebabkan kempen digantung dan akaun peniaga digantung atau dibuang.

3. Tanggungjawab peniaga

3.1 Memberi maklumat yang benar: nama perniagaan, nombor SSM, atau bagi perniagaan kecil tanpa SSM, nama pemilik seperti dalam MyKad beserta dokumen untuk semakan Rembuk HQ.

3.2 Menunaikan ikrar seperti yang dipaparkan, dan menyerahkan wang yang diikrarkan atau dikutip terus kepada institusi penerima (pindahan ke akaun institusi, atau tunai dengan resit institusi).

3.3 Melaporkan setiap serahan dalam Rembuk dengan bukti, sekurang-kurangnya sebulan sekali (atau dalam 7 hari selepas tamat bagi kempen 31 hari atau kurang), termasuk melaporkan "tiada kutipan" jika tiada.

3.4 Tidak menerima derma dalam talian bagi pihak institusi. Kod QR Infak Niaga membawa pelanggan ke laman yang membayar terus kepada institusi penerima.

4. Pengesahan oleh penerima

4.1 Kempen hanya bermula selepas pegawai institusi penerima (Pengerusi atau Yang Dipertua, Timbalan Pengerusi persatuan, Setiausaha atau Bendahari) menerimanya dalam Rembuk.

4.2 Hanya jumlah yang disahkan oleh penerima dipaparkan sebagai "Disahkan penerima". Penerima boleh mempertikai serahan, termasuk menarik balik pengesahan dalam 30 hari jika wang tidak diterima.

4.3 Penerima boleh menamatkan kerjasama pada bila-bila masa.

5. Integriti dan penggantungan

5.1 Serahan yang tidak disahkan dalam 14 hari, pertikaian, atau laporan lewat dipaparkan sebagai amaran di laman kempen dan dimaklumkan kepada Rembuk HQ.

5.2 Dua serahan dipertikai, atau laporan lewat 30 hari, menggantung kempen secara automatik sehingga Rembuk HQ menyemak.

5.3 Penyalahgunaan, termasuk menyamar sebagai institusi, tidak menyerahkan wang yang dikutip, atau menipu orang ramai, menyebabkan kempen dan akaun dibuang dan boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa.

6. Wang dan liabiliti

6.1 Rembuk tidak memegang wang yang dikutip oleh peniaga (tabung, tunai atau hasil jualan), dan tidak bertanggungjawab ke atas wang tersebut. Tanggungjawab menyerahkannya adalah pada peniaga.

6.2 Derma dalam talian melalui kod QR dibayar kepada institusi penerima mengikut kaedah bayaran institusi itu (gateway sendiri atau Rembuk Pay). Caj Rembuk Pay mengikut Terma Rembuk Pay; tiada caj tambahan untuk Infak Niaga.

6A. Infak Makanan

6A.1 Dalam Infak Makanan, penderma membayar pakej makanan halal dalam tempoh kempen, untuk dihantar oleh peniaga kepada institusi penerima. Setiap kempen menggunakan satu kaedah bayaran yang dipilih oleh peniaga semasa mencipta kempen:

  • (a) Gateway pembayaran peniaga sendiri (CHIP, toyyibPay, Billplz atau senangPay). Bayaran masuk terus ke akaun peniaga dan hanya ditanda dibayar selepas Rembuk menyemak status bayaran dengan gateway itu ("Bayaran disahkan automatik").
  • (b) DuitNow QR atau DuitNow ID peniaga. Penderma membayar dalam aplikasi bank dan memuat naik resit; peniaga menyemak dan menanda resit itu sebagai diterima atau menolaknya dengan sebab ("Disahkan oleh peniaga").
  • (c) Kaunter sahaja: tunai yang dibayar kepada peniaga secara bersemuka.
  • (d) Rembuk Pay, di mana bayaran dipegang oleh Renoraz Ventures Sdn Bhd sehingga penghantaran disahkan. Kaedah ini hanya tersedia apabila dibuka oleh Rembuk HQ; perenggan 6A.8 hingga 6A.10 terpakai kepadanya.

6A.2 Bagi kaedah (a), (b) dan (c), Rembuk dan Renoraz Ventures Sdn Bhd tidak memegang, menerima atau memindahkan wang penderma. Penderma dimaklumkan sebelum membayar bahawa bayaran terus ke akaun peniaga. Butiran gateway atau DuitNow peniaga disahkan oleh Rembuk HQ sebelum digunakan, dan nama akaun mesti sepadan dengan nama perniagaan atau nama pemilik yang disahkan. Sebarang perubahan butiran itu dihantar semula untuk semakan dan kempen aktif berkaitan digantung sehingga disahkan.

6A.3 Institusi penerima meluluskan tarikh penghantaran, masa dan maksimum porsi. Tempahan dihentikan apabila maksimum porsi dicapai. Alamat penghantaran hanya dipaparkan kepada peniaga dan tidak boleh dikongsi.

6A.4 Peniaga mesti menghantar makanan pada tarikh penghantaran dan memuat naik bukti (gambar makanan atau kotak sahaja, tanpa wajah; bilangan porsi) paling lewat sehari selepas tarikh itu. Bagi kaedah (b), semua resit penderma mesti disemak sebelum bukti dihantar. Resit yang tidak disemak dalam 48 jam diingatkan kepada peniaga, dan selepas 7 hari dimaklumkan kepada Rembuk HQ.

6A.5 Penerima mengesahkan atau mempertikai dalam 48 jam selepas bukti dihantar. Tiada jawapan dalam 48 jam dikira sebagai disahkan. Jika dipertikai, Rembuk HQ memutuskan sama ada penghantaran diterima sepenuhnya, sebahagian atau tidak, dengan sebab yang direkod. Hanya porsi yang disahkan penerima dikira kepada orang ramai.

6A.6 Bagi kaedah (a) dan (b), pemulangan ialah tanggungjawab peniaga. Jika tiada bukti penghantaran sebelum tarikh akhir, kurang porsi disahkan daripada yang dibayar, atau Rembuk HQ memutuskan pemulangan, peniaga wajib memulangkan bahagian penderma yang berkaitan dalam 7 hari dan menanda setiap pemulangan dengan rujukan dan bukti dalam Rembuk. Penderma boleh mengesahkan, atau memaklumkan, pemulangan itu.

6A.7 Jika pemulangan tidak ditanda dalam 7 hari, kempen digantung, peniaga ditanda "Pemulangan wang tertunggak" secara terbuka, Rembuk HQ dimaklumkan, dan peniaga tidak boleh menerima tempahan dalam talian atau mencipta kempen baharu sehingga semua pemulangan ditanda. Penyalahgunaan tertakluk kepada perenggan 5.3.

6A.8 Bagi kaedah (d), bayaran dipegang dan tidak dibayar kepada peniaga sebelum penghantaran disahkan. Jika disahkan, atau tiada jawapan dalam 48 jam, bayaran dilepaskan dan dipindahkan ke akaun bank peniaga yang disahkan oleh Rembuk HQ. Tanpa bukti penghantaran, semua bayaran dipulangkan kepada penderma oleh Rembuk.

6A.9 Bagi kaedah (d), jika kurang porsi dihantar daripada yang dibiayai, bayaran dilepaskan mengikut nisbah porsi yang disahkan dan bakinya dipulangkan kepada penderma.

6A.10 Bagi kaedah (d), caj Rembuk Pay (caj gerbang pembayaran dan caj platform mengikut Terma Rembuk Pay) ditolak daripada bahagian yang dilepaskan kepada peniaga sahaja. Bahagian yang dipulangkan dikembalikan kepada penderma sepenuhnya. Bagi kaedah (a), caj gateway adalah antara peniaga dan gateway itu; Rembuk tidak mengenakan caj ke atas bayaran tersebut.

6A.11 Tempahan tunai di kaunter peniaga direkod oleh peniaga dan hanya dikira kepada orang ramai selepas penerima mengesahkan porsi yang dihantar. Rembuk tidak memegang wang tunai tersebut.

7. Privasi

7.1 Nombor kad pengenalan tidak disimpan atau dipaparkan. Dokumen SSM atau MyKad hanya dilihat oleh Rembuk HQ.

7.2 Nama pemilik, no. telefon dan alamat premis hanya dipaparkan kepada orang ramai jika peniaga memilih. No. telefon peniaga dikongsi dengan institusi penerima untuk urusan serahan.

8. Hubungi kami

Pertanyaan: hello@rembuk.my. Terma ini ditadbir oleh undang-undang Malaysia.